Lebih 20,000 penyokong Sabah dijangka membanjiri Stadium Likas pada hari rabu ini untuk menyaksikan perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas semua tiket dilaporkan sudah habis dijual.

Tiket dijual dengan harga bermula RM15 untuk dewasa bagi kawasan tempat duduk PT Zone, RM22 (Old Fortress) dan Grandstand yang berharga RM32.

Semua tiket ini dijual secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my dan Sabah FC mengesahkan tiada jualan tiket secara fizikal di kaunter stadium berkenaan.

Bagaimanapun, penyokong Sang Badak yang tidak berjaya mendapatkan tiket tersebut masih bersemangat untuk memberi sokongan padu walaupun terpaksa berkumpul di luar stadium.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu amat memerlukan kemenangan bagi merapatkan jurang dengan 3 pencabar terdekat Liga Super iaitu Selangor, Kedah dan Sri Pahang.

Keempat-empat pasukan ini sedang bersaing sengit bagi merebut tempat kedua Liga Super yang menawarkan tiket ke saingan Piala AFC musim depan ketika JDT gah di tangga teratas dengan 54 mata.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super, Sabah berada di tangga kelima dengan 36 mata. Mereka hanya dibezakan 4 mata dengan Selangor (40 mata) serta satu mata dengan Kedah dan Sri Pahang (37 mata).

Bagaimanapun, perlawanan menentang JDT tidak begitu mudah kerana Harimau Selatan kini dalam prestasi terbaik apabila masih konsisten mencatat 18 kemenangan tanpa kalah.

Namun begitu, berbekalkan sokongan padu para penyokong Sang Badak tak mustahil kejutan akan berlaku di Stadium Likas sekaligus menjadikan saingan merebut kedudukan tiga teratas Liga Super bertambah sengit.